Followers

Friday 24 June 2011

Rejab Bulan Allah

Rejab merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Islam ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana yang dijanjikan Allah seperti yang terkandung dalam al-Quran. Rejab mempunyai empat makna iaitu takzim (kebesaran, keagungan dan kemuliaan), rahmah (bulan yang penuh dengan rahmat Allah), Jud'un (pemurah) dan Birr'un (kebajikan).

Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Nabi Muhammad saw dalam satu hadis menyatakan bahawa Rejab itu bulan Allah. Sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku".



Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra' dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya. Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya. Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah:-


Pertama: Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Antara mafhumnya:" Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid". [Riwayat At-tabrani].


Kedua: Bertaubat.
Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan. 



Ketiga: Berpuasa.
Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu". 



Keempat: Berdoa.
Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar. 



Istimewanya bulan ini, pada 27 Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj kepada Rasulullah s. a. w. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah. Dengan izin Allah, baginda melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di dunia. Ketika bertemu Allah, Rasulullah saw juga diperintah mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam yang mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu. Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya hingga ke hari kiamat.

No comments:

Post a Comment

ceriakan laman ini dengan komen anda.